Wanita Tidak Lemah


Ujar lelaki, wanita itu lemah. 
Ujar wanita, mereka adalah lembut. 
Antara lemah dan lembut, besar perbezaannya. 
Namun ada yang tidak rela mengakuinya.

Telah ditakdirkan, kerana lembut wanita
Tidak gemar perbalahan..kecuali jika terpaksa
Lalu wanita pun diam
Diam seolah-olah menerima...
Dalam diam, wanita gigih melaksanakan kewajipan
Dalam diam, wanita terus terusan bekerja

Di pejabat sebagai kerani, di rumah sebagai suri
Dari sebelum tercalit garis putih di subuh hari
Hingga jarum jam tegak bertindih jari

Lelaki yang mengaku kuat, celik mata sarapan sudah terhidang
Apabila pulang dari pejabat, di kerusi malas longlai terlentang
Isteri dikatakan lemah...bergelut di dapur memasak

Suami yang mengaku gagah, bersantai di hadapan tv tidak bergerak
Selesai memasak wanita menguruskan anak-anak
Menyapu sampah, mengemas rumah yang berselerak

Lelaki keletihan kerana memandu di jalan sesak
Berehat, menonton tv sambil tergelak
Dalam diam wanita dianggap lemah, terus berlumba dengan masa
Memandikan anak, melipat pakaian dan membasuh baju

Kaki tangan semua digerakkan dengan laju
Menyiram pohon-pohon bunga yang mulai layu
Sebelum solat Magrib untuk sujud, menyembah yang Satu
Makanan dihidang selepas solat
Selesai kerja rumah, anak-anak diajar mengaji

Sedang suami tersadar semula seperti tadi
Sebagai isteri kesetiaan wanita sentiasa diuji
Dalam diam semua tugas rumah segera dibereskan

Lelaki terpelajar celik hati, ingin menghapuskan diskriminasi
Lantang membela nasib wanita
memberi kesedaran supaya segera bangkit
Meminta lelaki jangan lagi memperlakukan wanita mengikut adab tradisi
Hukum agama telah terpapar

Tugas suami mengemas rumah, menjaga anak
Membasuh pakaian, menyediakan makanan
Jika suami tidak terdaya melakukannya
Seorang pembantu wajar disediakan

Lelaki yang hanyut dalam keasyikan
Tidak mampu menerima perubahan
Rela bertahan bagaimana jua
Asalkan cara hidup tradisi terus dinikmati
Dalam diam
Wanita yang sering dianggap lemah
Meneruskan hidup dalam segala kekuatan".


0 doa buatku makin comel:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...