Tazkirah: Kenapa kita bertahlil?

Bismillahir Rahmanir Rahim...

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi kita Muhammad SAW, ahli keluarga, sahabat, tabi'en dan sekelian pengikut mereka sehingga ke hari kiamat.

Ya Allah! Permudahkanlah dan jangan disusahkan, Ya Karim!

Adapun tahlil ialah Kalimah Tayyibah, Kalimah Tauhid, Kalimah Takwa, Kalimah Ikhlas, Kalimah Suci, Kalimah Peneguh, Anak Kunci Langit & Bumi, Nilaian Syurga, Tali Yang Teguh Dari Allah, Dakwah Yang Benar dsb.

Hadith #01

Daripada Jabir r.a.: Rasulullah SAW bersabda: Zikir yang paling afdhal ialah La ilaha illallah dan doa yang paling afdhal ialah Alhamdulillah.

(Hadith riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah; AlMunziri berkata ia riwayat Ibnu Majah dan An-Nasaie; Ibnu Hibban , Al-Hakim, Az-Zahiri, As-Sayuthi mengatakan ia hadith bertaraf sahih)


Hadith #02

Daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a.: Rasulullah SAW bersabda: Di satu ketika, Nabu Musa a.s. memohon kepada Alah SWT, "Wahai Tuhan, ajarkanlah aku akan sesuatu agar dapat aku mengingatiMu dengannya." Allah SWT berfirman: "Sebutlah La ilaha illallah!" Baginda menjawab: "Wahai Tuhan, ini diucapkan oleh setiap hambamu." Allah SWT berfirman lagi: "Sebutlah La ilaha illallah!" Baginda menjawab lagi: "Wahai Tuhan, aku mahukan sesuatu yang istimewa khas buat diriku." Allah SWT berfirman menjawab: "Jika tujuh petla langit dan tujuh petala bumi diletakkan di atas satu bahagian di neraca timbangan dan La ilaha illallah di sebelah yang lain, nescaya akan lebih berat di sebelah La ilaha illallah."

(Hadith riwayat An-Nasaie, Ibnu Hibban, Al-Hakim; Al-Hakim dan Az-Zahabi berkata sanadnya sahih)

Hadith #03

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau bertanya Rasulullah SAW: Siapakah yang akan mendapat kebahagian di hari kiamat melalui syafaat Baginda SAW? Rasulullah SAW menjawab: "Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya aku telah memerhatikan minatmu terhadap hadith, maka aku telah menduga bahawa tiada yang akan bertanya kepada aku tentang hal ini sebelum engkau." Baginda menambah: "Yang akan mencapai kebahagian dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucapkan kalimah La ilaha illallah dengan hati dan jiwa yang ikhlas."

(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Al-Hakim)



Hadith #04

Daripada Zaid Bin Arqam r.a.: Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang mengucapkan La ilaha illallah dengan ikhlas dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Baginda SAW ditanya: "Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?" Baginda SAW menjawab: Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan haram (munkar dan sesat).


(Hadith riwayat At-Tabrani dalam Al-Awsat dan Al-Kabir)


Hadith #05

Daripada Abu Hurairah r.a.: Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang pun hamba yang mengucapkan La ilaha illallah melainkan dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga kalimah itu terus menuju ke 'arasy kecuali mereka yang terlibat dengan dosa-dosa besar.

(Hadith riwayat At-Tarmizi, An-Nasaie, Ibnu Hibban, As-Sayuthi; At-Tarmizi & As-Sayuthi mengatakan hadith ini hasan gharib; At-Tabrani meriwayatkan dalam Al-Jami' As-Saghir satu hadith dhaif hampir serupa "Untuk setiap sesuatu itu ada kunci, dan kunci langit ialah La ilaha illallah")


Hadith #06

Daripada Syaddad Bin Aus r.a. dan 'Ubadah Bin As-Somit r.a.: Kami berada di dalam masjid bersama Rasulullah SAW. Tiba-tiba baginda SAW bertanya: Apakah ada di antara kamu yang bukan Muslim? Kami menjawab: "Tidak, tiada seorang pun yang bukan Muslim." Baginda SAW menyuruh kami menutup pintu dan kemudian bersabda: Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah. Ya Tuhan, sesungguhnya Engkau mengutuskan aku dengan kalimah (La ilaha illallah) ini. Engkau telah menjanjikan syurga dengan kalimah ini dan Engkau tiada memungkiri janji. Baginda seterusnya berkata kepada kami: Bergembiralah kamu kerana Allah SWT telah mengampun kamu sekelian (kerana menyebut kalimah ini).

(Hadith riwayat Ahmad, At-Tabrani, Az-Zahabi dan Ad-Darqatni dengan sanad yang baik (kecuali Az-Zahabi menyatakan seorang perawinya lemah). Dalam Majmu' Az-Zawaid, dinyatakan hadith ini diriwayatkan Ahmad, At-Tabrani dan Al-Bazzar dengan sanad yang dipercayai - yakni sanadnya sahih)

0 doa buatku makin comel:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...